Friday 28 June 2013

TPPA UNTUK MENDAHULUKAN KEUNTUNGAN KAPITALIS DARIPADA KEPERLUAN RAKYAT




Kerajaan Malaysia sedang melakukan rundingan dengan Amerika Syarikat untuk melakukan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan memberikan lebih ruang dan fleksibiliti kepada kapitalis (pemodal) Amerika untuk melabur di negara kita. Kapitalis Amerika juga akan mempunyai kuasa untuk mengeksploitasi sumber-sumber alam dan memaksa kerajaan melonggarkan undang-undang buruh.

Ini adalah langkah kerajaan untuk memperkukuhkan lagi dasar sistem pasaran bebas yang pada kenyataannya tidak bebas. Dalam sistem pasaran bebas, syarikat-syarikat yang besar akan mempergunakan kuasa monopoli dan kapasiti kewangan untuk menakluki suatu perniagaan tertentu untuk memastikan keuntungan maksimum. Dengan cara ini pemodal akan mengambil hak kepada barangan tersebut, dan menjualnya dengan harga yang tinggi.  Jika TPPA dilaksanakan, adalah dijangka kos barangan asas seperti ubat-ubatan akan meningkat dan boleh membebankan golongan berpendapatan rendah.
 
Manakala, dengan pelaksanaan TPPA hak dan kebajikan warga pekerja akan semakin terhakis dengan keutamaan pelabur Amerika untuk mengaut keuntungan berlipat ganda. Warga pekerja dan Kesatuan sekerja harus berkempen untuk mendesak kerajaan tidak menandatangani TPPA yang mendahulukan keuntungan kapitalis daripada keperluan rakyat.

Saturday 15 June 2013

CHE GUEVARA: SIMBOL PERJUANGAN



“Tembak, pengecut, anda hanya akan membunuh seorang lelaki”. Ini adalah ucapan terakhir Che Guevara sebelum beliau dibunuh pada 9 Oktober 1967 di Bolivia, ketika umur Che hanya 39 tahun.

Lebih empat puluh tahun selepas kematiannya, bendera, sepanduk, potret dan slogan dengan gambar Che masih dipergunakan secara meluas termasuk dalam demonstrasi dan protes. Walaupun bagi kebanyakan orang ia adalah satu tarikan fesyen sahaja, tidak kurang juga yang mempergunakannya sebagai instrumen untuk meluahkan bantahan atau menyatakan suatu deklarasi politik. Bagi mereka, Che Guevara adalah simbol perjuangan dan internasionalisme, dan juga simbol untuk membentuk dunia dan masyarakat yang lebih baik yang berlandaskan kepada idea-idea sosialisme. Hari ini di kebanyakan negara, ahli-ahli politik dan institusi kerajaan dianggap korup, tidak mewakili rakyat, tidak boleh dipercayai dan hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Manakala Che Guevara dilihat oleh anak-anak muda sebagai pejuang dan revolusioner yang berprinsip.